Wednesday, December 05, 2007

Berhati-Hati Dengan 'Tanggapan Pertama'

Kita adalah manusia yang lemah. Seringkali kita tertipu dengan 'pandangan pertama' atau 'tanggapan awal'. Apa yang sering dikenali dengan istilah '1st impression'.

Masih segar di ingatan saya bagaimana saya dan seorang teman ketika kami mula-mula ditugaskan di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur sebagai guru pelatih. Kami bertemu dengan salah seorang pentadbir sekolah - dengan mukanya yang serius, tiada senyuman, kelihatan tidak begitu menghargai kami berdua. Pelbagai tanggapan muncul dalam pemikiran kami dan ia tidaklah begitu positif.

Tetapi, setelah masuk ke pejabat beliau dan berbual dengannya, ternyata apa yang kami sangka amat tidak tepat malah jauh dari kenyataan. Ternyata beliau seorang yang begitu memahami dan mesra. Ya Allah, terasa begitu bersalah kerana membuat tanggapan melulu.

Begitu juga ketika saya membeli burger di salah satu gerai burger di Kajang. Penjual burger itu kelihatan pada saya (menurut tanggapan pertama) seperti seorang yang amat bengis dan seolah-olah tidak mahu menerima pelanggan. Tetapi sebaik sahaja saya memberinya wang dan beliau memulangkan kembali wang baki, terpancar di mukanya raut ceria dan ucapan 'terima kasih, bang' kedengaran begitu lembut. Pada hari yang lain, saya pernah melihat beliau begitu mesra melayan seorang kanak-kanak kurang upaya. Ya Allah, betapa salahnya tanggapan awalku!

Mungkin anda juga pernah melalui peristiwa yang hampir sama?

Lagipun, kita mesti ingat bahawa sebagaimana kita mempunyai tanggapan awal terhadap orang lain, mereka juga pasti ada tanggapan awal terhadap kita.

Marilah kita perbaiki penampilan kita agar tidak disalah anggap...dan marilah kita menghindari tanggapan yang negatif untuk komunikasi kita menjadi lebih berkesan.

1 comment:

  1. Anonymous10:55 AM

    Ustaz, jangan kita jadi terbalik pula, penampilan pertama begitu mengkagumkan tapi bila disapa kasar bunyinya.

    ReplyDelete