Friday, December 22, 2006

ISU AURAT - JANGAN HANYA MENGKRITIK

Satu fakta yang diakui dan dapat dilihat oleh kita semua ialah – terlalu ramai lelaki dan wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Maka apa yang kita ingin lakukan?
Ada diantara kita yang hanya merungut. Ada pula yang mengutuk golongan itu. Ada yang menegur dengan kasar. Ada yang menegur dengan cara ‘slow-talk’. Ada yang menegur secara bertulis.
Nasihat saya, cukuplah merungut dan mengkritik. Apalah hasil dan faedahnya sekiranya rungutan dan kritikan itu tidak dapat diubah kepada nasihat dan teguran?
Bagi yang menegur pula, jangan mulakan dengan cara yang kasar kerana Islam tidak menyuruh kita berkasar dengan semua manusia. Tegurlah dengan cara yang terbaik pada waktu yang terbaik.
Bagi yang menegur secara bertulis, pastikan tulisan kita sampai kepada golongan yang masih tidak menutup aurat. (harapnya tulisan saya ini dapat sampai kepada mereka). Kita mesti menyatakan bahawa aurat itu wajib dan kita mesti juga menyampaikan maklumat ini dengan baik dan tersusun kepada mereka.
Pertama, ajar mereka bahawa perintah menutup aurat adalah perintah yang ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih.
Kedua, ajar kepada mereka bagaimana menutup aurat yang sebenar. Jangan asyik menyuruh tanpa mengajar. Terdapat sebilangan lelaki dan wanita yang tidak menutup aurat hanya kerana mereka tidak tahu cara sebenar. Bantulah mereka untuk taat kepada Allah SWT.
Ketiga, cuba sentuh hati mereka dengan menggambarkan bagaimana sikap kita ketika menerima sesuatu perintah Allah SWT. Contohnya, kenapa kita solat 5 waktu? Kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa kita puasa Ramadhan? Kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa kita menutup aurat? Juga jawapannya ialah kerana ia perintah Allah SWT. Kenapa beza-bezakan antara solat 5 waktu dan aurat?
Pernah juga saya menasihatkan golongan ini dengan nasihat – menutup aurat adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT. Tidakkan mentaati perintah Allah itu adalah tanda kita bersyukur kepadaNya? Dia yang menciptakan kita, Dia yang memberikan segala pancaindera kepada kita dan memudahkan segala rezeki kepada kita. Kenapa agaknya kita tidak mahu mentaati perintahNya apabila Dia yang memerintahkannya ke atas kita?
Saya tak pandai sangat soal psikologi ni. Tapi saya berharap akan muncul ramai pendakwah (tidak semestinya ustaz) yang berjaya memujuk hati golongan yang tidak menutup aurat agar mereka berfikir kembali tentang sikap mereka yang tidak mahu menutup aurat secara sempurna.
Ini adalah harapan untuk saya dan anda. mari kita cuba jadikan ia sebagai kenyataan.

No comments:

Post a Comment