Wednesday, July 27, 2011

Dapatkan Buku-Buku Berikut:

SETIAP SATU DENGAN HARGA : RM5.00
PENGHANTARAN PERCUMA, HANYA BERIKAN ALAMAT LENGKAP KE : alitantawi@yahoo.com atau alitantawi@gmail.com atau sms pada - 0197105167


1- Ramadhan & Rasulullah s.a.w.




2- Amalan & Zikir Sebelum Tidur



3- 10 Tonggak Remaja Hebat

Sunday, July 24, 2011

2 Syarat Menyatakan Kebenaran


Hasil berbincang dengan sebahagian sahabat-sahabat dalam kelas Bahasa Arab berkaitan 'dakwah', kami mengambil kesimpulan berikut:

Terdapat beberapa syarat dan keperluan untuk menyatakan kebenaran dan menyebarkannya. Namun apa yang menarik perhatian ialah 2 syarat yang dirasakan amat penting:

Pertama - Kesediaan mendengar pandangan pihak lain.

Kedua - Ilmu dan maklumat yang mencukupi untuk menyatakan kebenaran.

Mungkin ini bukanlah segala-galanya dalam dakwah, namun elok kita renungi bersama.

KESEDIAAN MENDENGAR PANDANGAN
Sebahagian yang menceburi alam dakwah menghadapi kesukaran untuk membuka ruang mendengar pandangan dari pihak lain. Terkadang kita dapati pendakwah yang tidak mampu mendengar kritikan. Terkadang kita dapati pendakwah yang tidak mampu menelan teguran. Begitu juga dengan pendakwah yang tidak sanggup mendengar soalan yang mengandungi pelbagai unsur negatif (pada pandangan beliau) sehingga menutup ruang untuk memberi atau bertanya pandangan.
Begitu juga saya sendiri pernah bertemu dengan situasi di mana sebahagian yang mewakili 'dakwah' terus menutup pintu pandangan dengan label - sesat, liberal, sekular, muktazilah dll lagi. Sebaik sahaja mendengar 'intro' terhadap sesuatu pandangan, terus ditutupnya dengan 'label'.
Ini pasti menghalang dakwah yang kita sendiri ingin sampaikan malah mengganggu dakwah orang lain yang mungkin sahaja berbeza dengan kita tetapi dikelompokkan satu kumpulan dengan kita.
Mengapa kita tidak mahu membuka ruang untuk manusia memberikan pandangan, walaupun pandangan itu tidak secocok dengan pegangan kita? Siapa tahu pegangan kita juga tidak 100% mewakili 'kebenaran'?
Perbincangan dan dakwah sukar berlaku dalam situasi tertutup dan menutup sebegini. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat berinteraksi dengan keadaan ini dalam cara yang amat baik. Setiap yang memberi pandangan diberikan peluang, dan pandangan itu akan dianalisis sebelum ia diberikan jawapan yang memuaskan dan bersandarkan dalil serta hujah. Pernahkah anda melihat debat atau perbahasan yang menutup ruang untuk satu pihak dan membuka luas ruang untuk pihak lain?

KEBENARAN PERLUKAN ILMU UNTUK BERGANTUNG
Sesekali kita akan bertemu (malah mungkin berkali-kali) mereka yang membawa lencana 'dakwah' yang penuh dengan semangat dan kemahiran teknikal, tetapi satu aspek agak tercicir - ilmu. Mana mungkin dakwah dan perbincangan ilmiah tidak berasaskan ilmu? Ilmiah tanpa ilmu? Maka pendakwah seharusnya memenuhi ruang-ruang kosong dalam dirinya yang belum diisi dengan ilmu dan maklumat berkaitan 'kebenaran' yang dibawanya.
Bagaimana seorang doktor ingin mengubati pesakit tanpa ubat? Bagaimana pendakwah akan mampu menjawab persoalan, menarik pengikut dan juga menyebarkan kebenaran sekiranya dirinya merupakan orang yang hanya tahu teknik tanpa tahu isi kandungan? Luarannya dihias tapi dalamannya kosong?

Semoga 2 syarat ini (berserta syarat-syarat lain) akan diberikan perhatian oleh setiap muslim dan muslimah yang mewakili dakwah atau meletakkan dirinya sebagai agen penyebaran 'kebenaran'. Keberanian itu penting, namun mengisi keberanian itu dengan sikap positif dan ilmu yang kukuh lebih penting.

wallahu a'lam

Thursday, July 21, 2011

Wacana Ilmu - Jasa & Sumbangan Mufassir Agung - Ibnu Kathir

Khamis - 21 Julai 2011

8 mlm

IIS - atas Saba Islamic Media, Setiawangsa, Kl

Jemput hadir!

Wednesday, July 20, 2011

Tuesday, July 19, 2011

Mengenang Sayyid Qutb - Bah.1


*INI ADALAH SEBAHAGIAN NOTA PEMBENTANGAN 'SEMINAR PEMIKIRAN POLITIK SAYYID QUTB' YG TELAH DIADAKAN PADA 16 JULAI 2011 DI ISTAC, ANJURAN IRF

Mengenang Sayyid Qutb – sorotan kehidupan
Oleh: Adlan Abd. Aziz – pemudaiman.blogspot.com


Kita sering mendengar nama Sayyid Qutb (terkadang ditulis Syed Qutb) atau membaca tentang idea dan penulisan beliau. Tapi mungkin tidak ramai yang berkesempatan untuk melihat kehidupannya dengan lebih dekat dan terperinci. Semoga tulisan ini dapat membantu memberikan maklumat baru ke arah mengenali peribadi tokoh terkemuka ini. Sebahagian besar maklumat di sini saya ringkaskan daripada sebuah buku yang amat terperinci tentang peribadi dan pemikiran Sayyid Qutb iaitu buku yang ditulis oleh salah seorang guru saya semasa menuntut di Jordan, Dr.Solah Abd. Fattah al-Khalidi bertajuk: 'Sayyid Qutb; Min al-Milad Ila al-Istisyhad' (Sayyid Qutb, dari kelahiran hingga syahid) . Di antara rujukan lain juga adalah seperti: Biodata Sayyid Qutb melalui huraian adiknya sendiri iaitu Muhammad Qutb .
Sayyid Bin Qutb atau lebih popular dengan nama Sayyid Qutb merupakan anak kelahiran sebuah kampung kecil di Mesir bernama Musyah dalam daerah Asyut. Tarikh kelahirannya ialah 9 Oktober 1906. Dibesarkan dalam suasana penuh keagamaan, beliau telah pun menghafaz Al-Quran ketika berumur 10 tahun.
Selesai pengajian peringkat asas, beliau melanjutkan pelajaran ke beberapa tempat seperti 'Madrasat al-Mu'allimin' pada tahun 1922, Kulliyyah Dar al-Ulum pada 1929 dan lulus dengan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kesusasteraan Arab pada tahun 1933.
Sejak berada di dalam pengajian lagi beliau telah menyertai dan memimpin pergerakan pelajar contohnya di Dar al-Ulum sehingga berjaya menerbitkan majalah Dar al-Ulum.
Sayyid Qutb tidak pernah berkahwin. Beliau pernah jatuh cinta dan bertunang tetapi Allah SWT mentaqdirkan dan kita manusia hanya merancang. Kisah cinta beliau yang penuh dengan ujian telah diterjemahkan ke dalam beberapa penulisan dan sajak yang menyentuh jiwa. Akhirnya pertunangan itu putus di tengah jalan. Beliau cuba untuk berkahwin beberapa kali tetapi terhalang kerana dipenjara.
Alam pekerjaan beliau bermula sebagai guru di beberapa buah sekolah rendah di Mesir. Salah seorang pengkaji yang menulis tentang Sayyid Qutb – Abdul Baqi Muhammad Husain – telah melihat dengan sendiri fail Sayyid Qutb sepanjang perkhidmatannya dalam bidang perguruan dan mendapati bahawa Sayyid telah berkhidmat di 4 buah sekolah rendah dalam tempoh lebih kurang 6 tahun. Seterusnya selepas enam tahun, beliau kemudiannya berkhidmat di Kementerian Pelajaran Mesir dan di situ beliau telah diminta membuat kajian dan memberikan pandangan dalam isu-isu pendidikan Mesir. Beliau juga telah dihantar untuk membuat kajian di Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1948 – 1950. Pemergian Sayyid ke sana bukanlah semata-mata kerana kepentingan kajian tetapi juga bertujuan untuk menyekat Sayyid dari mengembangkan idea perubahan dalam negara Mesir. (akan bersambung dalam siri kedua)...

Thursday, July 14, 2011

Perhatian Untuk Mereka Yg Sayang Kpd Dr.Yusuf al-Qaradhawi..

Sesiapa yang mengikuti perkembangan baru-baru ini, seruan ke arah mengkritik Dr.Yusuf al-Qaradhawi (pendakwah terkemuka dunia Islam masa kini) telah disebut kembali. Saya ingin mencadangkan di sini sebagaimana dalam status FB saya:

Kepada semua yang syg kpd Dr.Yusuf al-Qaradhawi dan nak bela beliau, silakan hantar jawapan berbentuk - artikel, nukilan dari buku, atau dari web (dengan rujukan beramanah), ulasan dan sebagainya kpd - alitantawi@yahoo.com atau zainys@yahoo.com utk disiarkan dan dikumpul di al-ahkam.net - agar kita dapat menjawab kritikan itu dengan hujah, ilmu dan adab. Ayuh hantar segera sumbangan anda walau kecil atau besar.

Selamat mencari dan terima kasih.

Monday, July 11, 2011

Contohi Sayyid Qutb

Untuk seminar tentang pemikiran tokoh dakwah Sayyid Qutb pada 16 Julai akan datang saya berpeluang membaca pelbagai maklumat tentang beliau. Saya dapati setiap peritiwa dalam kehidupan beliau penuh dengan pengajaran dan amat relevan dalam dunia dakwah masa kini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dijemput hadir ke seminar tersebut di mana saya dan dua lagi pembentang (Ustaz Mohd Syauqi dan Dr Farouq)akan menyentuh pelbagai aspek tentang kehidupan Sayyid Qutb.

Namun begitu saya ingin berkongsi satu aspek positif yang dapat saya pelajari dari beliau iaitu, "gigih menyumbang untuk dakwah tidak kira apa jua keadaan" ini terbukti dengan banyaknya penulisan, program ilmu, aktiviti kemasyarakatan, dan jelajah serta ziarah yang beliau lakukan dalam keadaan kesibukan serta menanggung kesakitan dan tekanan. Kita mungkin boleh menyumbang dalam keadaan tertentu sahaja dengan kadar yang begitu minimun serta sukar untuk istiqamah. Itupun sekiranya badan kita sihat dan tanpa apa-apa tekanan. Namun sayyid Qutb seolah-olah ingin mengajar pendakwah sepanjang zaman agar terus menyumbang tanpa tergangu dengan pelbagai cabaran.

Sesiapa sahaja akan kagum dengan melihat sumbangan Sayyid Qutb yang pelbagai dan berterusan. Inilah ciri pendakwah sebenar, pewaris ulamak silam, penyambung dakwah para nabi dan rasul, bagaiman dengan kita?

jumpa 16 Julai nanti!! lihat di sebelah kanan Blog!!