Thursday, September 30, 2010

Program Ilmu - Wacana Hadith

DIJEMPUT BERSAMA DALAM DUA PROGRAM BERKAITAN HADITH YANG AKAN DI ADAKAN DI:

IIS Hall, No. 1-5-2, Wisma Prima Peninsula, Jln Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur
(Atas Saba Islamic Media)



PERTAMA:

WACANA ILMU HADITH - 'HADITH PALSU - BILA DAN BAGAIMANA IA MUNCUL'

KHAMIS, 7 OKTOBER, 8.30 MALAM


KEDUA:

WACANA 'FIQH SOLAT - ANTARA MAZHAB DAN HADITH'

AHAD, 10 OKTOBER, 9.30 PAGI

Friday, September 17, 2010

Salah Letak Ayat Al-Quran? - Bahagian 1

Terdapat satu kesilapan yang sering berulang dalam penulisan berkaitan agama. Bukanlah saya ini berkelayakan untuk menyatakan ia satu kesilapan. Saya cuma menukilkan dan cuba menyusun apa yang telah disebutkan oleh Imam-Imam Tafsir sejak dahulu hinggalah kepada apa yang ditekankan oleh pakar-pakar tafsir dalam dunia Islam masa kini.

TAFSIRAN TEPAT, PENGGUNAANNYA JUGA KENA PADA TEMPAT
Menurut para ahli tafsir sejak dahulu hingga kini, setiap ayat Al-Quran mestilah ditafsirkan dengan sebaik mungkin berdasarkan kaedah tafsir. Seperkara lagi, apabila sesiapa yang ingin menggunakan sesuatu ayat Al-Quran - sama ada untuk peringatan, kajian atau penulisan dan dakwah serta lain-lain lagi - hendaklah ia digunakan tanpa lari atau keluar dari kontek dan maknanya.

NIAT YANG BAIK TETAPI TETAP SATU KESILAPAN
Terkadang berlaku dalam kalangan mereka yang ingin menggunakan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran - dan ini satu niat yang harus dipuji - cuma disebabkan kurang menyelidik maksud sebenar ayat, maka mereka telah tersalah letak ayat tertentu bukan pada maksudnya yang sebenar.

Hakikat ini telah disedari oleh ramai ahli tafsir moden dan salah seorangnya ialah Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi (salah seorang ulama tafsir terkemuka dunia Arab, menetap di Jordan). Beliau telah mengarang sebuah buku yang menekankan permasalahan ini dengan memberikan contoh-contoh kesilapan penggunaan ayat Al-Quran di luar kontek.

Insya Allah dalam beberapa penulisan, saya akan menyebutkan contoh-contoh yang saya petik dari buku beliau berjudul :

تصويبات في فهم بعض الآيات

(Beberapa pembetulan dalam memahami beberapa ayat)

Dalam buku ini Dr.Solah telah menyebutkan 30 contoh penggunaan ayat di luar kontek termasuk ayat-ayat yang disalah tafsir mengikut apa yang beliau temui.

MATLAMAT BETUL, CUMA CARANYA SAHAJA YANG KURANG TEPAT
Kita tidak menolak bahawa terkadang maksud penggunaan ayat-ayat ini adalah tepat. Cuma apa yang tidak tepat ialah penggunaan ayat-ayat yang tidak berkaitan dengan maksud dan tujuan.

Sebagai contoh, saya ingin memancing ikan. Tidak salah kalau saya berdoa untuk Allah SWT mudahkan saya mendapat hasil tangkapan. Tetapi saya pernah diberitahu bahawa dengan membaca ayat 143, surah al-Nisaa', tangkapan akan menjadi banyak. Tetapi mari kita lihat bersama apakah maksud ayat tersebut:

maksud ayat 143 Surah al-Nisaa':

Mereka berkeadaan "muzabzab" (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

Siapa 'mereka' di dalam ayat itu? Jawapannya ialah dengan melihat ayat 142 iaitu ayat sebelumnya:

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Maka apa kaitannya dan mengapa kita membacanya semasa memancing atau menangkap ikan? Kesilapan di sini bukan dari segi hukum, tetapi kesilapan dari segi meletakkan ayat Al-Quran bukan pada tempatnya.

Dalam tulisan akan datang, saya akan menyebut contoh-contoh lain yang akan diambil dari buku Tashwibat karya Dr.Solah al-Khalidi. Semoga peringatan ini menjadi satu pengajaran untuk kita berhati-hati dalam menggunakan ayat-ayat Al-Quran.

Insya Allah...

adlan abd aziz

Tuesday, September 14, 2010

Wacana Ilmu - Fiqh Solat Antara Mazhab & Hadith

WACANA ILMU

'FIQH SOLAT - ANTARA MAZHAB & HADITH'


Oleh : Adlan Abd. Aziz

Tarikh: Ahad 10 Oktober 2010

Masa: 9.30 pagi

Tempat: IIS Hall, No 1-5-2, Prima Peninsula, Jalan Setiawangsa 11
Kuala Lumpur, Malaysia (atas Saba Islamic Media)

Pendaftaran Percuma - sila klik di sini

Saturday, September 11, 2010

Kepalsuan hadith - Bercakap soal dunia dalam masjid

Apabila abang saya, Hafiz Abd.Aziz menghantar satu gambar melalui telefon bimbit, saya agak terkejut bercampur kecewa. Kenapa? Kerana gambar tersebut adalah gambar satu tulisan yang digantung di salah sebuah masjid dan tulisan itu merupakan sebuah hadith palsu! Mari kita lihat bersama apa kata ulama hadith zaman berzaman tentang hadith yang disangka benar dan sahih dalam kalangan sebahagian masyarakat ini.

Hadith tersebut berbunyi:

Sesiapa yang berkata-kata tentang perkara dunia di masjid, Allah hapuskan pahala amalannya selama 40 tahun.


terdapat juga satu lagi hadith palsu yang hampir sama maksudnya berbunyi:

Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput.

Adakah benar ada hadith sebegini dalam buku-buku hadith utama? Adakah ia hadith yang benar-benar sahih daripada Rasulullah s.a.w.? Sebahagian pembaca mungkin akan menjawab...saya tak tahu tapi rasanya saya pernah baca/dengar. Ini jawapan biasa kita temui. Hakikatnya kita 'tidak tahu'. Elok kita bertanya kepada yang tahu atau mencari dalam khazanah ilmu agar kita akan berpindah dari status 'tidak tahu' kepada 'tahu'.

Penjelasan:
Apabila kita melihat pandangan ulama hadith zaman berzaman, kita dapati beberapa fakta berkaitan dua hadith di atas dan juga berkaitan maksud yang dibawa oleh keduanya:

Pertama:
Kedua hadith ini atau yang sama maksud dengannya tidak ada ditemui di dalam buku-buku hadith utama seperti : Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Kitab-kitab Sunan (Abu Daud, al-Tirmidzi, Ibnu Majah, al-Nasaai), buku-buku Musnad (Ahmad, Abu Ya'la dll), atau Muwatto Imam Malik, dan buku-buku hadith masyhur yang lain. Maka bagaimana ia dianggap sebagai benar?

Kedua:
Tidak pernah ditemui mana-mana ulama hadith terkemuka yang mengisytiharkan bahawa hadith ini benar, sahih dari Rasulullah s.a.w./

Ketiga:
Terdapat ulama hadith terkemuka dalam bidang hadith (walaupun mungkin tidak popular dalam masyarakat umum) yang menyatakan bahawa hadith ini dan hadith sebegini tidak sahih malah palsu. Palsu dengan makna ia bukan hadith dan bukan berasal daripada Rasulullah s.a.w. Di antara mereka ialah:

Hadith 'dihapuskan amalan selama 40 tahun': Ahli hadith yang menilainya sebagai 'palsu' antaranya ialah:

1-al-Soghoni dalam bukunya yang mengumpulkan hadith-hadith palsu - al-Maudhu'aat.

2-Mulla Ali al-Qari dalam bukunya yang mengumpulkan hadith-hadith palsu - al-Asrar al-Marfu'ah dan al-Mashnu'.

*Rujuk buku Kasyf al-Khafaa' karya al-Ajluni - hadith no.2440.


Hadith 'memakan amalannya seperti binatang liar memakan rumput'. Ahli hadith yang menilainya sebagai palsu antaranya ialah:

1- al-Iraqi dalam takhrij al-Mughni 'an Hamli al-Asfaar.

2- al-Zabidi, al-Fairuz Abaadi, Ibn Hajar al-Asqalani, seperti yang ada dalam buku al-Masnu' oleh Ali al-Qari (no.109).

3- al-Subki dalam Tobaqaat al-Syafi'iyyah al-Kubra.

*Rujuk buku '20 Persoalan Asas Tentang Hadith - Adlan Abd.Aziz'.

Seperkara lagi, ia adalah sebuah kata-kata yang tidak dapat diterima maksudnya kerana umum mengetahui bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman kegemilangan Islam, masjid merupakan pusat pentadbiran dalam menguruskan hal ehwal pemerintahan. Sememangnya umat Islam dituntut untuk berbincang hal keduniaan di masjid kerana dunia yang digunakan dengan baik akan mendatangkan kebaikan di akhirat. Itulah contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Mereka berbincang soal memajukan dunia selaras dengan syariat di masjid dan juga di tempat-tempat lain. Oleh itu kita dapat Mulla Ali al-Qari menyatakan bahawa hadith sebegini batil iaitu palsu dari setiap segi.

Adalah diharapkan sesiapa sahaja yang menemui hadith ini dibaca, ditulis atau disebarkan agar menasihati mereka yang bertanggungjawab agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Adlan Abd. Aziz

Friday, September 10, 2010

Salam Eid al-Fitr


Untuk keluarga dan sanak saudara...

Untuk rakan dan sahabat semua...

Untuk murid-muridku sejak 2003 hingga kini...

Peliharalah keindahan Eid kali ini dengan kesopanan dan adab mulia...

Jangan lupa tegur kalau jumpa ...

* Mohon maaf tak hantar / balas sms raya...itu bukan tanda anda dilupai... :)

Tuesday, September 07, 2010

Tazkirah...tidak semudah yang disangka

Memberikan tazkirah bukan satu perkara remeh, mudah, santai sehinggakan sesiapa sahaja boleh melakukannya tanpa disiplin tertentu. Di sini saya ringkaskan beberapa masalah dalam beberapa tazkirah termasuklah tazkirah sepanjang Ramadhan yang saya temui dan saya masih ingat. Tidak dinafikan terdapat tazkirah yang disampaikan dengan penuh ilmu dan penghayatan lantas memberi kesan pada diri saya dan orang lain. Tumpuan saya hanyalah pada segelintir tazkirah dan pentazkirah sebagai kritikan membina dan peringatan bersama.

Berserta nasihat ini juga saya sertakan cadangan penyelesaian untuk para pentazkirah agar kesilapan yang sama tidak akan berulang. Apa guna kita mengkritik jika kita tidak membantu?
Selamat membaca..

1- Terdapat sebahagian pentazkirah yang tersalah dalam menyebut ayat-ayat Al-Quran yang ingin dijadikan isi tazkirahnya. Bahkan ada yang tersalah memberikan terjemahan dan tafsiran. Contohnya terjemahan ayat 'Fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh' [iaitu ayat 191 dan ayat 217 dari surah al-Baqarah] dengan menafsirkan 'fitnah' sebagai 'tuduhan bohong terhadap manusia tidak bersalah'. Ini adalah terjemahan yang tidak tepat. 'Fitnah' di dalam kedua ayat tersebut bukan bermaksud 'tuduhan bohong' tetapi ia membawa maksud 'usaha orang-orang kafir yang mengganggu dakwah dan cuba memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran lantas menyemai amalan syirik'.


Cadangan:
Seeloknya pentazkirah menyenaraikan terlebih dahulu ayat-ayat yang beliau ingin gunakan lalu mengambil sedikit masa untuk menyemak terjemahan dan tafsirannya. Salah seorang ulama tafsir terkemuka negara Arab, Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi pernah menasihatkan di dalam bukunya Ma'a Qasas al-Saabiqin supaya para pendakwah membuat persediaan sebelum berdakwah agar dakwahnya lebih kukuh dan mantap serta kurang melakukan kesilapan.

2- Terdapat beberapa tazkirah yang menyebut hadith-hadith dhaif dan palsu. Adakah pentazkirah itu tahu ia dhaif dan palsu? Saya merasakan bahawa beliau tidak tahu. Namun begitu ia tetap satu perkara yang tidak wajar kerana hadith palsu itu akan tersebar dalam kalangan yang mendengar tazkirah. Contohnya seperti :

'Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China'
'Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad'
'Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, hujungnya pembebasan dari neraka'
'Beramallah untuk duniamu seolah kamu akan hidup selamanya, beramallah untuk akhiratmu seolah kamu akan mati keesokannya'
'Sesiapa yang inginkan dunia, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan keduanya, hendaklah memiliki ilmu'
'9/10 rezeki itu ada pada perniagaan'

Sedangkan kata-kata di atas telah pun dinilai sebagai palsu dan bukan hadith oleh ramai ahli hadith dan ulama sejak dahulu hingga kini. Maka bagaimana kita boleh 'terleka' dan 'tersebut' hadith-hadith ini dalam tazkirah di hadapan orang ramai? Kita tidak boleh asyik menuturkan alasan mudah seperti 'nak buat macam mana, saya tak tahu', 'saya ingatkan hadith' atau 'dah lama saya tahu ini hadith' dan sebagainya. Ini bukan alasan kerana hadith-hadith sahih terlalu banyak untuk kita capai dalam buku-buku terkemuka seperti Riyadhussolihin, Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Alasan itu boleh diterima dari mereka yang mendengar tazkirah, bukan 'pentazkirah'.

Cadangan:
Jadikan buku-buku utama hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Riyadhussolihin sebagai bahan rujukan utama jika ingin mencari hadith-hadith untuk digunakan dalam tazkirah. Tidak mengapa jika kita tidak menyebutkan terlalu banyak hadith. Cukup dengan satu dua hadith pun memadai jika dihuraikan dan dihayati maksudnya.

3- Menumpukan sesuatu isu yang kecil dan membesarkannya sedangkan ia tidak termasuk dalam kategori 'wajib' atau 'haram'.

Contohnya saya pernah mendengar seorang pentazkirah beria-ia memarahi orang yang tidak solat terawih 23 rakaat. Manakala dalam masa yang sama ada pula pentazkirah yang seolah menghadkan terawih mesti 11 rakaat dan tidak boleh lebih. Sedangkan di zaman awal Islam perkara sebegitu begitu kecil dan ada yang menunaikan solat sehingga 30 atau 40 rakaat lebih. Ia hanyalah bilangan rakaat.

Manakala terdapat pula pentazkirah yang memarahi anak-anak muda pergi ke masjid tanpa memakai kopiah dan baju melayu. Adakah ini satu perkara yang patut dibangkitkan sedangkan ia tidak wajib dan bukan asas dalam beragama?

Seorang lagi pentazkirah pula berkeras mahukan para jemaah mengkhatam Quran dalam bulan Ramadhan sedangkan ia bukanlah satu tuntutan wajib. Sesiapa yang berjaya khatam 30 juzuk maka ia satu perkara yang baik namun sesiapa yang tidak mampu, tidak wajar kita mempertikaikannya.

Cadangan:
Setiap isu dan perkara yang ingin dibawa mestilah dilihat dari segi 'keutamaannya'. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan menggariskan bahawa pendakwah dan umat Islam perlu menumpukan kepada yang lebih utama. Contohnya mendahulukan perkara wajib sebelum sunat, perkara tentang masyarakat sebelum individu, perkara haram sebelum makruh, perkara yang bermanfaat untuk ramai dan sebagainya. Buku beliau Fiqh al-Awlawiyyat telah pun diterjemah dan elok dijadikan bahan bacaan pendakwah.


4- Membawa kisah-kisah pelik dan ajaib yang tidak bersumberkan dari Al-Quran atau hadith sahih. Kisah-kisah ini adakalanya berkaitan umat terdahulu atau kadangkala kisah di zaman moden ini yang belum dipastikan kebenarannya.

Cadangan:
Sebagaimana kita membuat persediaan untuk menyemak ayat Al-Quran dan hadith yang akan kita gunakan dalam tazkirah, buatlah juga kajian tentang kesahihan kisah atau cerita pelik yang akan kita sampaikan nanti. Tidak semua kisah pelik itu benar. Ada kisah pelik dan ajaib yang memang ada dalam Al-Quran dan hadith. Tetapi ada juga kisah pelik yang tiada dalam mana-mana sumber yang diyakini.

5- Berdoa terlalu lama selepas tazkirah sehingga para jemaah tidak selesa. Doa bukanlah satu kemestian setiap kali selepas tazkirah. Namun begitu jika pentazkirah ingin berdoa, dinasihatkan agar berdoa dalam kadar sederhana dan tidak terlalu panjang. Kita semua tahu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memarahi sahabatnya Mu'adz Bin Jabal kerana terlalu memanjangkan solat ketika menjadi imam solat fardhu. Tidakkah hadith ini boleh membuatkan kita terfikir, adakah patut kita memanjangkan doa sehingga terlalu lama?

Cadangan:
Berdoalah dengan doa-doa ringkas yang diterjemahkan agar dapat dihayati oleh mereka yang mendengar tazkirah. Malah amat memadai kalau kita akhiri dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Itu sudah cukup cantik dan ringkas serta mencapai matlamat.

Itulah sekadar yang dapat saya kongsi untuk kali ini. Maafkan saya jika terkasar atau mengguris hati sesiapa. Apa yang baik, harap disebarkan.

wallahu a'lam