Tuesday, June 22, 2010

KAMUS B.ARAB PMR


Kamus PMR - mengandungi makna perkataan yang terdapat dalam buku teks B.Arab Tingkatan 1,2 dan 3. Disusun dengan carian yang mudah mengikut huruf pertama setiap perkataan.

Penyusun - Abu Samuel (b.a. Bahasa Arab univ. Al-Azhar, Mesir, m.a. Bahasa Arab univ.Malaya)

Adlan Abd. Aziz (b.a. Bahasa Arab univ. Al al-Bayt, Jord...an.

Boleh hubungi saya di FB atau e mail alitantawi@yahoo.com untuk pesanan.

Saturday, June 19, 2010

Dalam Fiqh, Saudi…Dalam Hadith, al-Albani…’Itu Kajian Ilmiah’?

Sebahagian (bukan semua, sebahagian) penuntut ilmu amat gopoh dalam memberikan penilaian terhadap sesuatu isu agama atau cabang ilmu berkaitan Islam. Saya terpanggil untuk menulis apa yang sering saya bicarakan bersama sahabat-sahabat lain dalam al-ahkam.net iaitu fenomena ‘tarjih’ iaitu keupayaan memilih pendapat yang terbaik dan terkuat mengikut dalil apabila berlakunya perbezaan dan perselisihan. Tarjih di sini tidak semestinya dalam fiqh, bahkan termasuk juga dalam aqidah, tafsir, hadith dan sebagainya.

Sifat gopoh dalam memberikan pandangan adalah sifat yang boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Apa yang terhasil daripada kegopohan seringkali akan membawa kesan yang negatif. Kadangkala sifat gopoh sering dikaitkan dengan usia muda atau peringkat awal menuntut ilmu. Apa yang penting, jangan malu dan degil untuk berubah kerana manusia tidak sempurna terutama penuntut ilmu di usia muda.

Di antara contoh kegopohan dalam memberikan pandangan ialah – Terdapat sebahagian penulis, penuntut ilmu malah pendakwah yang apabila timbul sesuatu persoalan dalam fiqh atau timbul perbincangan tentang kedudukan sesuatu hadith sama ada sahih atau tidak, maka timbullah dan kedengaranlah suara-suara bersemangat yang menyeru ke arah kajian, manhaj, tarjih, tahqiq dan perkara yang sewaktu dengannya. Lalu keluarlah pandangan yang paling ‘rajih’ dan pendapat yang paling kuat atau tepat. Persoalannya, benarkah itu yang ‘rajih’ dan betulkah itu yang paling kuat?

Apa yang penulis temui agak berlainan. Seruan yang indah dan hebat itu rupanya menutup satu kecenderungan memilih pendapat aliran tertentu. Ringkasnya, di dalam fiqh, mereka sebenarnya cenderung memilih pandangan ketat atau pandangan ulama dari Arab Saudi beraliran salafi (terdapat banyak jenis salafi). Manakala di dalam hadith, mereka sebenarnya cenderung memilih pendapat syeikh al-Albani.

Persoalannya, adakah saya akan mengkritik semata-mata kerana mereka cenderung kepada fiqh salafi Saudi dan hadith dari al-Albani? Sudah semestinya tidak. Itu pilihan masing-masing dan mungkin mereka ada sebab untuk memilih sebegitu.

*Apa yang saya ingin jadikan nasihat dan teguran ialah sikap mereka yang melaungkan slogan-slogan kajian ilmiah yang nampak sememangnya 100% ilmiah…sedangkan hakikatnya tidak begitu!

*Saya juga membangkitkan isu ini kerana ingin mengelakkan lebih ramai golongan yang berani tidak bertempat sebegini. Saya katakan berani tidak bertempat kerana melihat kepada kemampuan ilmu mereka yang melakukan perkara ini. Semangat mereka nampaknya melebihi ‘usia’ ilmu pada diri mereka.

*Kita juga perlu sedar bahawa terdapat ramai ulama sejak zaman berzaman hingga ke hari ini. Kenapa menghadkan kepada Ulama Saudi dan al-Albani?

Di antara punca utama perkara ini berlaku (sekadar maklumat yang ada pada penulis) ialah :

1- Pembacaan yang terhad. Membaca hanya buku-buku tertentu dan tidak dapat keluar daripada sangkaan tertentu terhadap ulama dan buku tertentu.

2- Pembacaan buku-buku kedua dan bukan sumber utama. Mungkin disebabkan tidak dapat membaca dalam bahasa asal iaitu Bahasa Arab atau mungkin juga kerana buku-buku kedua dan ketiga lebih ringkas dan dianggap memadai.

3- Keinginan dan nafsu ingin pergi ke tengah medan dakwah agar dikenali sebagai golongan ilmiah dan boleh memberikan pandangan terus daripada dalil dan nas.

4- Tidak melalui proses menuntut ilmu secara berperingkat dan tidak mempunyai guru yang memberikan panduan berterusan.

5- Tidak bergaul dengan pelbagai lapisan penuntut ilmu untuk berkongsi bersama apa yang ingin dikaji. Hanya berkawan dengan aliran masing-masing.

6- Tidak bersedia menarik balik pandangan atau membuat muhasabah terhadap sesuatu pegangan.

7- Bersungguh untuk mematikan hujah lawan walaupun dengan cara tidak ilmiah.

8- Tidak mengikuti perkembangan ilmu. Memadai dengan apa yang telah diketahui.

Contohnya ada sebahagian yang menulis tentang persoalan fiqh. Kadangkala latar belakang bukan daripada golongan agamawan, tetapi mereka mendakwa melakukan kajian berdasarkan dalil. Itu hak mereka untuk mendakwa. Apabila menulis – sama ada dalam bentuk buku atau artikel – mereka amat gemar menekankan aspek kajian, ketelitian, dalil yang sahih, rujukan muktabar dan sebagainya. Tetapi apa yang sering berlaku ialah : apabila tiba persoalan fiqh, mereka akan ketengahkan ulama dari Arab Saudi atau dari aliran ‘salafi’. Apabila tiba persoalan hadith pula, mereka akan utamakan pandangan syeikh al-Albani atau murid-muridnya dan yang sealiran. Inikah rupa ‘tarjih’, ‘tahqiq’ dan ‘dalil’?

Terlintas juga persoalan di hati – sejauh manakah mereka mampu untuk menyemak buku-buku asal dan utama dalam kajian ilmu Islam? Bukankah buku-buku itu ditulis dalam Bahasa Arab? Kalau mereka (sebahagiannya) mengakui mereka tidak mempunyai asas dalam Bahasa Arab, bagaimanakah kita boleh yakin dengan ‘kajian’ dan ‘penyelidikan’ mereka? Atau sebenarnya mereka mengambil kajian orang lain? Sekali lagi saya ulang, perbuatan mereka mengambil pandangan dan kajian ulama tertentu tidak salah. Tetapi ‘cara’ ia diiklankan seolah seperti kajian ilmiah…itu yang ingin ditegur.

Golongan sebegini juga kadangkala kita dapati terlalu mudah menghentam dan mengkritik orang lain yang didakwa pula ‘tidak ilmiah’, tidak ‘tarjih’, tidak mengkaji…inilah yang menyebabkan saya menulis untuk menasihat mereka, dan juga menasihati penuntut ilmu lain agar menjauhkan sikap sebegini.

Hakikatnya kita manusia lemah. Kadangkala kita yang sering melaungkan ‘ilmiah’ dan ‘tahqiq’ sebenarnya tidak ilmiah mana dan tidak tahqiq mana pun. Tetapi kecenderungan dan nafsu untuk memperlihatkan kepada orang lain kita adalah ilmiah dan mengkaji menjadikan kita lupa bahawa kita sebenarnya tidak mampu pun untuk membuat kajian yang ilmiah. Sebagaimana ada yang mendakwa dirinya ‘terbuka’ dengan semua aliran, tetapi hakikatnya kawan sendiri yang dilabel sebagai ‘tidak ada arah tuju’ atau ‘tidak ada manhaj’ bahkan ‘tidak salafi’.

Ada yang menulis seolah dialah yang membuat kajian sedangkan ia diambil dari buku tertentu. Kajian fiqh yang diambil daripada buku-buku huraian fiqh ulama Arab Saudi dijadikan asas dan ia dikeluarkan dalam bentuk ‘kajian perbandingan ilmiah’. Ada yang mendakwa dirinya membuat kajian terhadap hadith sedangkan kesemuanya diambil daripada orang lain. Ada yang pandai menutup perbuatan ini dengan menyatakan ‘Riwayat al-Tirmidzi’ dan tidak memasukkan ‘dinilai sahih oleh al-Albani’. Sedangkan kita tahu daripada buku rujukannya bahawa dia menggunakan pendapat syeikh al-Albani semata-mata dan mengabaikan terus penilaian al-Tirmidzi.

Saya sememangnya diberitahu bahawa ada pula golongan yang hampir serupa yang meghadkan ulama tertentu sahaja yang dianggap ‘benar-benar ulama’. Begitu ramai ulama zaman berzaman tetapi hanya dua tiga orang sahaja yang dianggap benar-benar ‘bermanhaj’? Patutlah mereka sempit dan tidak tahu membuat kajian perbandingan!

Itulah yang ingin ditegur…sempit, terhad, tetapi mendakwa diri ‘luas’, ‘terbuka’, membuat ‘kajian ilmiah’ dan ‘tarjih’ serta ‘tahqiq’. Berani tidak bertempat dan menghadkan pengambilan ilmu.

Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah mengingatkan saya dan menyedarkan saya daripada ‘cenderung’ kepada mana-mana pihak sehingga tidak ilmiah. Saya juga berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang suka memberikan ‘sudut ketiga’ dalam perbincangan ilmiah yang akhirnya menjadikan kita merasa kerdil dan menghormati ulama. Jazakumullah kerana telah menyedarkan saya bahawa ilmu itu adalah apa yang ada di dada..bukan semata-mata di hujung mata pena dan kertas sahaja.

Adlan Abd. Aziz

Thursday, June 17, 2010

Dua Situasi Tentang Berzikir Selepas Solat

Berzikir selepas solat adalah sunnah dan amat digalakkan. Bagi yang sibuk, mereka dianjurkan berzikir sekejap manakala bagi yang tidak, berzikirlah dengan zikir yang lebih panjang. Kesemuanya adalah digalakkan.

Tetapi...

Dua situasi dan keadaan yang saya alami membuatkan saya terfikir...adakah kita selama ini peka terhadap 'cara' kita berzikir selepas solat?

Situasi 1:

Saya bersama sahabat baik saya Cikgu Hanif (Pemuda Iman) bersama-sama pergi ke beberapa tempat untuk membeli buku, makan dan berbual. Kami singgah solat maghrib di sebuah masjid yang baru dibina di salah sebuah bandar kecil di Kedah. Apabila sampai, jemaah baru sahaja selesai solat maghrib. Lalu saya, Cikgu Hanif dan seorang lagi pemuda solat berjemaah dan saya menjadi imam. Apa yang membuatkan saya terkedu ialah betapa kuatnya dan lantangnya suara imam mengalunkan zikir selepas solat. Sehinggakan saya menghadapi kesukaran memperdengarkan bacaan untuk makmum. Selepas solat cikgu Hanif mengadu bahawa dia sendiri hampir tidak dapat mendengar saya membaca al-Fatihah dan surah-surah selepasnya.
Adakah ini caranya kita berzikir?

Situasi 2:

Saya solat di salah sebuah masjid yang berhampiran dengan rumah. Selepas solat saya tunggu untuk berzikir dan berdoa bersama imam. Apa yang membuat saya begitu hairan ialah 'kelajuan' imam membaca zikir. Terlintas di hati saya : 'Hang ni kalut nak pi mana?'. Terlalu laju, sehingga saya dapat mengenal pasti beberapa kesilapan dalam bacaannya.
Adakah ini caranya kita berzikir?

Saya bukan ingin membangkitkan adakah kita perlu berzikir...sememangnya zikir selepas solat adalah amat digalakkan..

Tetapi..saya merasakan tiba masanya kita perlu merenung kembali...bagaimanakah cara terbaik untuk kita berzikir?

letih..letih...

Wednesday, June 09, 2010

Setiap Hari Kita Adalah Insan Baru....dengan syarat..

Dengan syarat....kita sentiasa menambahkan ilmu.

Di antara penyakit merbahaya yang melanda sebahagian kita - bahkan termasuk penulis sendiri - ialah kita berhenti menambah ilmu. Ilmu kita menjadi statik dan kita tidak ada modal kecuali apa yang telah sedia ada dalam kotak ingatan semata.

Malah penyakit ini akan merebak menuju satu tahap yang lebih kronik - kurang nafsu dalam mencari dan menambah ilmu. Apa lagi penyakit yang paling kronik melebihi penyakit kurang berminat, kurang 'passion' dalam mencari ilmu? Tolong beritahu saya.

Bukan ilmu tentang dunia sahaja. Ilmu agama bagaimana pula? Bukan ilmu tentang agama semata-mata, ilmu keduniaan apa ceritanya?

Apa pandangan anda tentang orang yang hilang nafsu pada keduanya???

Sepatutnya setiap hari kita adalah manusia baru. Manusia baru dengan ilmu baru, pengetahuan baru, pengalaman baru, semangat baru. Mungkin kita akan terbabas beberapa ketika, namun kita akan bangkit kembali mencari dan menambah sesuatu yang baru. Itulah manusia yang menikmati dan menghargai nilai kehidupan.

Jangan jadi manusia statik dan mundur. Bukan mundur dengan maksud undur. Tetapi mundur dengan maksud orang lain sudah ke depan dengan ilmu baru sedangkan kita masih tetap di situ. Kita ditinggalkan. Walaupun kita telah melangkah, namun kenapa berhenti sekarang?

Semoga menjadi renungan untuk saya sendiri....dan anda mungkin?

Monday, June 07, 2010

Hadith Kelebihan Membaca Surah : Yaasin dan al-Waaqi'ah

Kita semua sudah sedia maklum bahawa membaca mana-mana ayat atau surah di dalam Al-Quran sudah pasti akan membawa ganjaran pahala daripada Allah SWT. Begitu juga sebahagian besar kita sudah mengetahui bahawa terdapat beberapa ayat dan surah tertentu yang disebutkan ganjaran membacanya secara khusus.
Namun begitu kita juga perlu menyedari satu hakikat yang telah disebutkan oleh imam-imam hadith terdahulu iaitu – terdapat hadith-hadith yang tidak sahih menceritakan ganjaran khusus membaca surah atau ayat tertentu. Adalah menjadi satu perkara yang salah apabila kita mencampur adukkan antara hadith yang sahih dan tidak sahih berkaitan pahala ganjaran membaca Al-Quran.
Bagaimana ingin membezakannya? Sudah pasti ia memerlukan usaha dan pengajian berterusan serta sikap suka bertanya kepada yang tahu. Maka seorang muslim yang berhati-hati akan sentiasa menggunakan dan menyebut hadith yang sahih terlebih dahulu sebelum menyebut hadith-hadith yang tidak sahih. Namun begitu kita semua bersetuju bahawa membaca mana-mana ayat atau surah sudah pasti mendapat ganjaran pahala secara umum. Apa yang kita ingin bicarakan ialah beberapa hadith yang tidak sahih menceritakan tentang ganjaran khusus untuk surah atau ayat tertentu..
Untuk sekadar memberikan contoh, saya ingin menyebut dua hadith yang sentiasa menjadi sebutan sebahagian masyarakat berkaitan pahala membaca surah tertentu:

Pertama:
Hadith tentang kelebihan surah Yaasin. Di antara lafaz yang sering disebut ialah ‘Yaasin adalah jantung atau hati kepada Al-Quran’.

Kedua:
Hadith tentang kelebihan surah al-Waaqi’ah. Di antara lafaz yang popular ialah ia jika dibaca boleh mengelakkan pembacanya daripada kefakiran dan kemiskinan.

Mari kita fahami bersama kedudukan hadith berkaitan dua surah yang disebutkan di atas:

1. Tidak syak lagi membaca surah Yaasin atau Waaqi’ah bahkan mana-mana surah mendatangkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Di antaranya ialah ganjaran umum yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith tentang pahala yang kita akan perolehi apabila membaca setiap huruf di dalam Al-Quran:

Sabda Rasulullah s.a.w. :
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم َرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya:
Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah maka untuknya satu kebaikan dan kebaikan itu digandakan sepuluh sepertinya. Aku tidak berkata ‘alif laam miim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ satu huruf, ‘laam’ satu huruf dan ‘miim’ satu huruf.
[Hadith riwayat al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh beliau]

2. Namun untuk seorang muslim menyatakan dengan penuh keyakinan bahawa sesuatu hadith itu ‘sahih’ dan nyata datangnya daripada Rasulullah s.a.w., ia memerlukan keyakinan dan kepastian daripada para ulama hadith zaman-berzaman. Inilah yang tidak ada pada kedua hadith yang kita sedang bincangkan.

3. Hadith berkaitan kelebihan surah Yaasin sememangnya kita boleh temui dalam kitab-kitab hadith tertentu. Tetapi kewujudannya bukanlah bermakna ia sahih dan pasti datangnya daripada Rasulullah s.a.w. Inilah yang sering disebutkan oleh para ulama hadith. Sebagai contoh, hadith tentang Yaasin itu ‘hati / jantung Al-Quran’ kita boleh temui di dalam buku Musnad Ahmad. Dalam masa yang sama kita perlu sedar bahawa anak Imam Ahmad iaitu Abdullah Bin Ahmad pernah bertanya kepada beliau ‘adakah semua hadith di dalam Musnad itu sahih?’. Maka Imam Ahmad menjawab bahawa di dalam ada yang sahih dan ada yang tidak. Beliau berniat untuk mengumpulkan semata-mata.

4. Hadith ‘Yaasin itu jantung/hati Al-Quran’ merupakan hadith yang dinilai dhaif oleh ramai ulama hadith terkemuka. Di antara mereka yang membuktikannya sebagai dhaif ialah seperti al-Mizzi (742H), al-Zahabi (748H), al-Zailaei dan lain-lain lagi. Ini tidak termasuk ulama hadith moden dan masa kini. Untuk perhatian pembaca, hadith ini tidak ada di dalam kitab-kitab hadith yang sahih seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Ia juga tidak pernah dinilai sebagai sahih oleh imam-imam hadith terdahulu.

5. Begitu juga dengan kelebihan surah al-Waaqi’ah yang dikatakan boleh mengelakkan kemiskinan. Hadith ini sememangnya telah dijelaskan oleh ulama hadith sejak dahulu lagi bahawa ia tidak sahih bahkan menurut al-Mundziri (pengarang buku al-Targhib wa al-Tarhib) : ‘ia tidak diriwayatkan dalam buku-buku hadith utama’. Di antara ulama yang membuat kesimpulan ia sebagai dhaif ialah seperti al-Zahabi (748H) dalam beberapa bukunya, al-Iraqi (806H) (dalam takhrij Ihya’ Ulumiddin), Ibnu Hajar al-Asqalani (852H) dalam Nataaij al-Afkar dan juga ulama-ulama hadith moden seakan sepakat ia tidak sahih.

6. Kedua-dua hadith di atas tidak sahih dan telah dijelaskan oleh ulama hadith zaman berzaman. Ini bermakna kita tidak boleh menyebutkannya sama seperti kita menyebut hadith-hadith sahih yang lain kerana dibimbangi masyarakat akan menganggapnya benar-benar hadith dan sahih datangnya daripada Rasulullah s.a.w.

7. Sebagai maklumat tambahan, kita dapat melihat bagaimana Imam al-Nawawi (676H) dalam bukunya Riyadhussolihin telah mengumpulkan hadith-hadith tentang kelebihan ayat dan surah tertentu menerusi hadith-hadith sahih. Apa yang menarik, kedua hadith yang sedang kita bicarakan ini tidak beliau masukkan. Ini menunjukkan bahawa kedua hadith ini juga tidak dinilai sahih oleh Imam al-Nawawi.

8. Beramal dengan kedua surah ini atau membacanya sudah pasti dibolehkan dan tidak dilarang kerana ia merupakan amalan yang amat mulia di sisi Allah SWT. Apa yang ditegaskan hanyalah tentang kesahihannya sebagai hadith atau tidak.

Selamat membaca dan selamat beramal.

Alitantawi

Tuesday, June 01, 2010

Berdoalah Untuk Sahabat-Sahabat Konvoi Gaza

Berdoalah...itulah yang termampu kita lakukan.

Jangan sibuk memberi ulasan semata-mata. Berdoalah dengan setulusnya. Jangan jadi orang yang tidak pernah membantu atau menderma...tidak pula sanggup pergi ke sana...dan tidak berdoa pula.

Berdoalah untuk mereka selalu. Buat masa ini, mereka amat memerlukan sesuatu dari kita. Dari jauh kirimlah doa ikhlas semoga Allah SWT memberikan bantuan kepada mereka...Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.