Thursday, December 31, 2009

Tahun Baru 2010 - Kenapa Gembira?

Itu sahaja untuk kali ini...satu pertanyaan yang terlintas di hati bila melihat orang sibuk untuk menyambut tahun baru 2010.

Kalau anda dapat menjawab dengan jawapan positif - tahniah.

Kalau anda tak dapat jawab sampai sekarang...tak pasti?...lebih baik anda buat perkara yang lebih penting - Perancangan apa yang nak dibuat untuk tahun baru.

Banyak peluang dan masa untuk kita merancang perkara positif.

Kalau kita berjaya melaksanakan perancangan tu...barulah kita betul2 GEMBIRA...

setuju?

Jom...

Friday, December 25, 2009

Ilmu-Ilmu Islam - Kenapa Perlu Rujukan B. Arab?


Ramai yang sudah pun faham sangat kenapa pentingnya penguasaan B.Arab dalam kehidupan seorang penuntut ilmu-ilmu Islam di pusat-pusat pengajian.

Tapi masih ada lagi yang belum puas hati tentang 'keperluan' menguasai B.Arab dalam mendalami ilmu-ilmu Islam seperti Tafsir, Fiqh, Hadith dan lain-lain.

Bagi mereka, kenapa pula bahasa menjadi penghalang? Bukankah sudah ada buku-buku agama yang diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti B.M dan B.I.? Tak cukupkah?

Terlalu panjang untuk dihuraikan, tetapi saya ingin mengingatkan kepada yang lupa dan memberitahu kepada yang belum tahu tentang hakikat berikut:

Satu:

Memang sudah ada banyak buku yang telah diterjemahkan dari bahasa asalnya iaitu B.Arab kepada bahasa lain yang difahami seperti Indonesia, Melayu dan Inggeris. Tetapi masih terlalu banyak (ya, terlalu) buku-buku rujukan utama tafsir, fiqh, hadith dan ilmu-ilmu Islam lain yang belum diterjemahkan. Tak percaya? Boleh dapatkan senarai buku-buku utama dalam setiap bidang...contohnya bidang tafsir. Senaraikan buku-buku rujukan utama dalam B.Arab (bahasa asal) dan buat pula carian tentang terjemahan buku-buku tersebut dalam bahasa lain. Insya Allah anda akan tahu.

Dua:

Kalaulah kita membuat andaian bahawa 'buku-buku rujukan ilmu Islam yang telah diterjemah telah cukup', saya ingin menegaskan bahawa: kita masih belum tahu adakah terjemahan itu tepat dan berjaya menjelaskan maksud penulis yang menulis dalam bahasa asal? Saya secara peribadi telah bertemu dengan terjemahan-terjemahan yang mempunyai masalah seperti: tidak tepat dengan maksud asal, terlalu ringkas, menyalahi maksud penulis asal, 'hilang' iaitu tidak diterjemahkan ...dan pelbagai lagi.

Tiga:

Andai kata berlaku salah faham pada terjemahan atau perbezaan pandangan antara dua terjemahan atau lebih, bagaimanakah agaknya untuk kita pastikan mana yang lebih benar dengan maksud penulis? Sudah pasti kita perlu melihat kepada teks asalnya dalam B.Arab bagi menyelesaikan perselisihan.

Saya kadangkala hairan dengan 'kesedaran' tentang keperluan B.Arab pada orang yang bukan penuntut ilmu-ilmu Islam secara khusus. Mereka amat 'bersemangat' untuk belajar B.Arab...semoga Allah SWT memudahkan jalan untuk mereka.

Tapi saya lebih hairan dengan sikap 'qana'ah' pada diri sebahagian penuntut ilmu-ilmu Islam atau pengkajinya mengakibatkan mereka tidak berusaha menguasai B.Arab. Semoga Allah SWT mengembalikan semula 'semangat yang hilang' (xpdc)

Jangan 'tamat pengajian' menipu kita bahawa pengajian sudah benar-benar 'tamat'.

Wednesday, December 23, 2009

Memahami Kedudukan Buku 'Ulum al-Hadith' / Mustolah al-Hadith


Terlintas untuk menulis tentang tajuk ini disebabkan penemuan semalam bersama sahabat, Cikgu Hanif ketika kami bersama membelek buku-buku Pustaka Darussalam, Kedah.

Kami bertemu sebuah buku tentang Ulum al-Hadith yang cukup baik ditulis oleh seorang pemegang phd dalam hadith. Buku dalam Bahasa Melayu. Cikgu Hanif meminta pandangan adakah buku itu baik untuk dibeli. Saya menjawab bahawa semua buku Mustolah al-Hadith adalah baik cuma ia tidak mungkin memberikan 'gambaran menyeluruh' tentang kajian hadith. Ia merupakan satu usaha untuk 'mendekatkan' kita terhadap gambaran itu. Cikgu Hanif mahukan bukti!

Lalu kami bersama melihat perbahasan demi perbahasan dalam buku itu. Saya memilih tajuk 'hadith hasan' dan juga 'hadith mursal' untuk memberikan bukti. Dalam buku tersebut - dan juga buku-buku ringkas yang lain - kita dapati definisi ringkas tentang 'hasan' dan juga 'mursal' lalu diberikan contoh. Definisinya begitu terhad dan sememangnya ia perlu diringkaskan untuk kemudahan pembaca. Tetapi...

Saya menunjukkan kepada Cikgu Hanif tentang beberapa perkara yang kurang tentang definisi itu. Kebetulan di rak yang berhampiran terdapat sebuah buku tentang 'hadith hasan' sebanyak 5 jilid! Begitu juga saya ingatkan Cikgu Hanif bahawa terdapat pengkaji lain yang menulis tentang 'hadith mursal' berjilid-jilid. Mungkinkah semua jilid-jilid itu dapat diringkaskan dalam 2 muka surat? 1 muka surat untuk 'hadith hasan' dan 1 lagi untuk 'hadith mursal'? Ini realiti.

Bagi penuntut ilmu hadith, saya huraikan lagi perkara di atas dengan contoh:

Contoh 1:

Penulis mengambil definisi 'hadith hasan' yang diungkapkan oleh Imam al-Tirmidzi di hujung bukunya al-Jami' atau apa yang dipanggil sebagai Ilal Saghir, lalu menyimpulkan bahawa definisi yang diungkapkan oleh al-Tirmidzi membawa maksud : Hasan Li Ghairihi. Semudah itu. Sedangkan perbincangan tentang perkara tersebut amat panjang dan mempunyai pelbagai sudut untuk dilihat. Penulis juga tidak membawa pandangan sesiapa untuk menyokong tafsiran tersebut.

Contoh 2:
Penulis memberi erti 'hadith mursal' dengan hanya satu maksud iaitu ia hadith yang diriwayatkan oleh seorang tabi'i tanpa menyebut nama 'sahabat Nabi'. Itu sahaja. Kemudian sesuatu yang menghairankan, beliau menyebut tentang khilaf ulama dalam menerima hadith mursal. Katanya ada yang menolak kerana tidak tahu kedudukan periwayat yang tidak disebut. Adakah ulama hadith menolak hadith kerana tidak tahu kedudukan 'sahabat Nabi'? Anda boleh faham contoh ini dengan jelas.

Tujuan saya menulis ialah untuk menegaskan:

Sesiapa sahaja yang membaca buku Ulum al-Hadith - mana-mana buku Ulum al-Hadith - tidak akan mendapat gambaran yang tepat tentang kajian yang berlaku. Ini bermakna buku-buku Ulum al-Hadith lebih bertujuan untuk 'mendekatkan' kita terhadap kajian, tapi bukan 'meringkaskan' kajian sehingga kita faham apa yang sebenarnya berlaku.

Oleh itu saya menasihati sesiapa yang berminat dalam Ulum al-Hadith agar :

Membaca pelbagai jenis buku berkaitan Ulum al-Hadith atau Mustolah al-Hadith. Jangan hanya memadai dengan buku-buku ringkas, tetapi cuba sedaya mungkin untuk mempelbagaikan buku. Setiap buku mempunyai sesuatu yang tidak ada pada yang lain.

Ini jelas untuk mengelakkan daripada terperangkap dengan istilah-istilah yang mempunyai definisi ringkas berlainan dengan kajian sebenar.

Pada saya, bukan salah penulis buku-buku Mustolah kerana mereka bertugas meringkaskan dan mendekatkan. Tapi salah pada kita pembacanya kerana tidak menyedari perkara ini..

Selamat membaca.

Monday, December 21, 2009

Petikan dari buku 'Islam At The Crossroads' - M.Asad


Setelah habis membacanya (nipis saja, 101 m/surat) - terus terlintas di hati saya - ...rugi kalau ada orang yang tak tahu dan tak baca buku ini!

Tajuk: Islam At The Crossroads

Penulis: Muhammad Asad (rahimahullah)


Apa kata penulis tentang buku ini?

"A plea to the Muslims of my generation to avoid a blind imitation of Western social forms and values, and to try to preserve instead their Islamic heritage which once upon a time had been responsible for the glorious, many-sided historical phenomenon comprised in the term "Muslim civilization".

Terdapat 7 bab dalam buku kecil ini -

The open road of Islam
The spirit of the west
The shadow of the crusades
About education
About imitation
Hadith and Sunnah
Conclusion

Saya ingin nukilkan sedikit dari bab ke 6 iaitu 'Hadith and Sunnah'. Beliau dalam proses menegaskan keperluan kita kepada Hadith. M.surat 90 dan 91:

"Our mind is unable, by virtue of its nature, to understand the idea of totality; we can grasp, of all things, their details only. We do not know what infinity or eternity means; we do not even know what life is. In problems of a religion resting on transcendental foundations we, therefore, need a guide whose mind possesses something more than the normal reasoning qualities and the subjective rationalism common to all of us. We need someone who is inspired - in one word, a Prophet.

If we believe that the Qur'an is the Word of God, and that Muhammad (peace and blessings be upon him) was God's Apostle, we are not only morally, but also intelectually bound to follow his guidance implicitly.

This does not mean that we should exclude our powers of reasoning. On the contrary, we have to make use of those powers to the best of our ability and knowledge; We must discover the inherent meaning and purpose of the commands transmitted to us by the Prophet.

But in any case - wether we are able to understand its ultimate purpose or not - we must obey the order".

Thursday, December 17, 2009

Buku Cadangan: Safahaat Min Sabr al-Ulama' - Syeikh Abu Ghuddah


Di antara buku yang begitu penting dalam hidup saya ialah sebuah buku hasil karya salah seorang ahli hadith terkemuka zaman ini - Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah (meninggal pada 1997) betajuk:

صفحات من صبر العلماء على شدائد العلم والتحصيل


Buku ini mengumpulkan kisah-kisah para ulama dalam mengharungi kesusahan menuntut ilmu.
Tetapi ia bukan buku biasa...ia buku hasil karya Syeikh Abu Ghuddah!

Sepanjang membaca karya-karya Syeikh Abu Ghuddah sejak di universiti lagi - juga setelah seringkali mendengar daripada sahabat-sahabat yang sudah lama mengkaji buku-buku Syeikh ini, saya dapati buku-buku SYeikh ABu Ghuddah amat menarik, bagi sesiapa yang membacanya...

Namun paling menarik ialah huraiannya. Beliau akan menghuraikan apa sahaja yang dirasakan perlu. Memang seringkali 'nota kaki' dalam buku beliau amat panjang sehingga boleh diasingkan menjadi sebuah buku lain!

Beliau amat mementingkan soal bahasa dan baris serta bagaimana menyebut sesuatu perkataan dengan betul. Berlainan dengan buku-buku Arab lain yang sering mengabaikan baris, buku-buku beliau penuh dengan panduan baris terutama perkataan yang jarang ditemui atau perkataan yang telah lama digunakan dan mengelirukan.

laman web syeikh Abu Ghuddah - www.aboghodda.com


Berbalik kepada buku 'Safahat' yang ingin saya ceritakan di awal tadi...

Buku ini mengumpulkan kisah para ilmuan Islam - dalam pelbagai jenis ilmu - sejak zaman berzaman dan menumpukan kepada - kegigihan dan susah payah yang mereka harungi.

KENAPA BUKU INI PENTING?

- Kerana ia kisah para ilmuan Islam dalam sejarah kegemilangan Islam.

- Kerana merekalah yang memelihara ilmu itu untuk generasi seterusnya termasuk kita.

- Buku ini memberikan inspirasi dalam mencari ilmu dan tidak sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

- Buku ini merupakan lambang gabungan antara usaha dan tawakkal.

- Kisah mereka merupakan gabungan antara keimanan dan kesungguhan...bukan seperti ilmuan bukan Islam yang kurang keimanan walaupun ada usaha dan ilmu.

- Kisah-kisah ini sebenarnya jarang diketahui kerana ia 'tersembunyi' dalam buku-buku sejarah yang berjilid-jilid...akhirnya ia dikeluarkan kembali oleh ulama seperti Syeikh Abu Ghuddah.


* Buku ini sekadar pengetahuan saya ada dalam Bahasa Arab shaja. Mungkin ada sahabat-sahabat yang pernah bertemu dengan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu atau Inggeris. Apa yang penting...cuba dapatkannya terutama bagi yang mampu membaca dalam Bahasa Arab.

ini alamat untuk muat turun buku ini dalam bentuk pdf:

http://s203995553.onlinehome.us/waqfeya/books/02/0126.rar

insya Allah saya akan kongsikan bersama kisah-kisah ini dalam tulisan akan datang...insya Allah.

Friday, December 11, 2009

Alhamdulillah....Pertemuan Dengan Tariq Ramadan!


11.55pm...baru pulang dari makan malam bersama Tariq Ramadan...best!

Setelah mengenalinya melalui rakan, bahan bacaan dan video ucapannya dari Youtube, tidak kusangka dapat menatap wajah, bersalam dan berbual dengan salah seorang ilmuan dunia Islam terkemuka - Prof. Tariq Ramadan! Syukur pada Allah SWT!

Terima kasih kepada Dr.Farouk (Director, IRF) yang telah memberikan peluang ini.

Anda ingin kenali siapa Prof. Tariq Ramadan? Mungkin boleh mulakan dengan mencari namanya di wikipedia dan laman web lain termasuk laman web beliau.

atau ingin tahu daripada sahabat saya yang menulis tentangnya? Sila buka laman blog kami - pemudaiman.blogspot.com - klik di sebelah kanan anda sekarang!

Apa lagi yang boleh saya katakan setelah baru sebentar tadi berbual dengan beliau?

- Dalam keletihan, beliau masih tersenyum

- Bila ditanya, beliau menjawab penuh kesungguhan

- Bila diminta bergambar, serta merta beliau bersedia

- Pakaiannya begitu sederhana...seperti dalam video2 dan gambarnya

- Tidak putus2 mengucapkan terima kasih kepada yang menyambutnya

- Eh, Boleh bergurau pulak!


Siapa tidak kagum dengan pemilik lebih dari satu tesis master dan phd yang amat sederhana ini..

Esok (12 Disember) dan lusa (13 Disember) beliau akan berkongsi idea dan buah fikirannya dalam program yang dianjurkan oleh IRF. Lihat iklan tentangnya dalam posting sebelum ini dan juga dalam blog pemudaiman.blogspot.com

Alhamdulillah...
Syukur pada Allah atas nikmat ini..
Terima kasih kepada Dr.Farouk dan IRF...

Monday, December 07, 2009

Bersama Siyar A'lam al-Nubala'...Ahmad Bin Abi Khalid

Siyar A'lam al-Nubala' adalah salah sebuah buku terkenal karya imam hadith dan sejarah Islam yang agung - Al-Zahabi (wafat 748 Hijrah). Ringkas cerita, buku ini menghimpunkan kisah hidup dan apa yang penting berkaitan tokoh-tokoh terkemuka dalam sejarah Islam. Tokoh-tokoh dalam pelbagai ilmu Islam, imam-imam fiqh dan hadith, ulama dalam bidang bahasa..malah tokoh-tokoh aliran terkenal seperti Mu'tazilah dan lain-lain juga ada!.

Ketika membuka jilid 10 - saya asyik membaca kisah Abdullah Bin Maslamah al-Qa'nabi (murid Imam Malik Bin Anas dan guru Imam al-Bukhari). Lalu mata saya terpandang kisah seorang tokoh sebelum beliau iaitu - Ahmad Bin Abi Khalid (wafat212H), salah seorang menteri dalam kerajaan Khalifah al-Ma'mun. Sekali baca saya sudah tertarik dan kagum, serta pelik.

Ahmad Bin Abi Khalid merupakan seorang hebat dalam bidang politik dan juga berilmu dalam pelbagai bidang. Tetapi ada dua sifat yang nampak seolah berlawanan, ada pada dirinya...elok kita tengok bersama:

Pertama - Mukanya amat garang, bengis dan dia tidak akan senyum kepada sesiapa...orang besar atau orang kecil..begitulah yang digambarkan oleh mereka yang bertemu dengannya.

Kedua - Dia sangat sangat pemurah (dua kali 'sangat), dermawan, suka membantu...dia pernah menawarkan derma sebanyak sejuta dirham (wang emas tuu) dengan begitu selamba!

Sehinggakan ada seorang lelaki (mungkin kurang berilmu atau ingin bergurau) menyatakan bahawa Ahmad Bin Abi Khalid telah mendapat satu 'kurniaan' yang tidak diperolehi oleh Rasulullah S.A.W.! Mendengar kata-kata ini Ahmad terus memarahinya dengan berkata 'celaka engkau, apa 'kurniaan' itu?'.(Lihatlah betapa garangnya beliau). Lalu lelaki malang itu berkata bahawa di dalam Al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud:'Sekiranya engkau kasar dan keras hati, pasti manusia akan beredar menjauhkan diri darimu' (Surah Ali Imran, ayat 159), tetapi kamu pula 'kasar' dan 'keras hati' tetapi manusia tidak lari darimu!

* Pernah kan kita jumpa orang macam tu? Muka yang 'tersangatlah' garang...Sifat peribadi yang 'tersangatlah' baik. Tapi mungkin tak ramai orang macam ni. Sebab tu jangan cepat 'menilai' manusia hanya kerana wajahnya sahaja.

Satu lagi yang ingin saya kongsi bersama tentang menteri yang pelik dan hebat ini...kata-katanya:

"Sesiapa yang tidak mampu menderma hartanya, dia tidak akan mampu menderma jiwanya"

Aduh. Hebat sungguh kata-kata ini. Kepada orang yang semangat sangat bercakap tentang jihad...tengok dulu diri kita ...mampu tak kita menderma?

Imam al-Zahabi ketika menukilkan kata-kata Ahmad Bin Abi Khalid ini, beliau terus memberikan ulasan : "Keberanian dan Pemurah itu adalah bersaudara.."

* selalulah baca kisah-kisah orang hebat sebegini kerana ia bukan sekadar kisah, tetapi ia penuh dengan pengajaran!

Doakan saya rajin untuk berkongsi lagi cerita sebegini! Amin!

(Asalnya nak cerita tentang Abdullah al-Qa'nabi, tetapi tukar pulak kisah orang lain. Insya Allah akan datang kisah tentang Abdullah al-Qa'nabi)

Friday, December 04, 2009

PENGUMUMAN PROGRAM CUTI SEKOLAH

PROGRAM INTENSIF CUTI SEKOLAH: PAKEJ AKADEMIK + MINI TAHFIZ HADIS

Terbuka kepada pelajar sekolah dan seisi keluarga.

Diskaun istimewa untuk anak yatim 50%

Tempoh kursus: 5 minggu (30 November 2009 - 3 Januari )
2010

Sesiapa yang berminat, sila hubungi:

03 - 90768516 / 013 - 3603732

Tempat:

Pusat Tuisyen Faiza Jaya,
No. 10 B, Jalan Suadamai 1/2,
Bandar Tun Hussein Onn,
43200 Cheras, Selangor D.E

Cawangan :
No. 36A, Lorong CP 4/36,
Taman Cheras Perdana,
43200 Cheras, Selangor D.E

Wednesday, December 02, 2009

Pengarang Buku 'La Tahzan' / Jangan Bersedih

Bersama penulis dan pendakwah terkemuka dunia Islam, Dr. Aidh al-Qarni.